Sunday, January 31, 2010

SEJARAH RINGKAS HOMEOPATHY


Pengasas perubatan Homeopathy, Samuel Hahnemann, telah dilahirkan di Meissen berhampiran Dresden, Jerman pada 10 April 1755. Beliau mendapat ijazah perubatannya pada tahun 1779. Ketika berkhidmat sebagai doktor di beberapa buah bandar, Hahnemann tidak lupa memahirkan diri dengan mempelajari pelbagai jenis bahasa, baru dan lama, dan juga ilmu kedoktoran silam. Selain daripada menjadi seorang doktor, beliau juga terkenal sebagai pakar kimia, ahli mineralogi dan botani, malah beliau boleh dianggap sebagai seorang ahli sains yang serba berkebolehan.

Berdasarkan kepada pembacaan dan pemerhatian Hahnemann ke atas sistem rawatan pada masa itu dan yang terdahulu, beliau begitu tertarik kepada tindakbalas ubat-ubatan di dalam menyembuh penyakit. Kajiannya tertumpu kepada kesan kulit pokok Cinchona (kulit kayu Quinine atau Peruvian) ke atas penyakit malaria kerana penyakit berkenaan merebak luas ketika itu dan antara yang paling merbahaya. Walaupun ada penulisan di masa itu berhubung kuasa penyembuhan kulit pokok Cinchona, tetapi Hahnemann tidak begitu berpuas hati dan mengambil keputusan untuk membuat ujian sendiri ke atas manusia yang sihat – iaitu dirinya sendiri. Hasilnya, selepas mengambil jus kulit pokok berkenaan secara berterusan, beliau mendapati simptom (gejala) malaria pada dirinya seperti kesejukan, panas dan berpeluh serta gejala-gejala sampingan lain. Dengan lain perkataan, kulit pokok Cinchona yang digunakan sebagai penawar (ubat) untuk menyembuhkan malaria juga memberikan kesan (gejala) yang sama jika diberikan secara berterusan kepada manusia yang sihat. Penemuan prinsip rawatan ini yang dipanggil “Similia Similibus Curentur” di dalam bahasa Latin atau “sesuatu yang serupa menyembuhkan yang serupa” menandakan permulaan satu falsafah perubatan baru yang akan membawa kesan besar kepada dunia perubatan.

Kajian demi kajian telah dilakukan oleh Hahnemann bersama teman seperjuangannya dan akhirnya beliau berjaya membukukan falsafah perubatan Homeopathy di dalam bukunya yang terkenal bertajuk “Organon”, dan diikuti kemudian dengan terbitnya buku panduan perubatan Homeopathy pertama “Materia Medica Pura”. Kemajuan Homeopathy berjalan dengan pesat dengan banyak lagi penemuan baru dan penerbitan buku-buku panduan, dan telah berkembang ke serata dunia dan terus dipopularkan sebagai rawatan alternatif penting hari ini.

Hahnemann meninggal dunia di Paris pada tahun 1843 dengan meninggalkan mutiara yang amat berharga, satu falsafah dan kaedah rawatan yang begitu banyak bermanfaat kepada kesihatan manusia sejagat sepanjang zaman.

No comments:

Post a Comment